Tuesday, March 9, 2010

Friday, March 5, 2010

Sistem Riba Punca Ekonomi Merosot


Krisis kewangan sistem ekonomi Barat yang bertunjangkan mekanisme riba', bunga berganda dan penindasan, kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa buah negara lain dalam sekelip mata sahaja. Usaha-usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda-tanda ekonomi beransur pulih kembali.

Menurut Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh, Mufti Besar Arab Saudi bahawa krisis kewangan sejagat yang dialami ketika ini berpunca daripada sikap mengabaikan peraturan tuhan dan membenarkan amalan riba' yang diharamkan oleh Islam berleluasa. Dalam masa yang sama, masalah ini telah membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia dalam menangani kemelesetan ekonomi.


Kini, adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan umatnya, memperkukuh struktur dan produk kewangan Islam serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi dunia. Pertumbuhan sebanyak 15 peratus setahun sistem perbankan Islam, mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri menyaingi sistem kewangan Barat. Sistem kewangan Islam bersifat lebih adil kepada pelabur dan pengusaha, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.

Pada hakikatnya, sistem kewangan Barat sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia. Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan sangat memerangi segala bentuk sistem atau struktur yang berteraskan riba' yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam yang bermaksud :


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa". (Al-Baqarah : 278-279)


Krisis yang dihadapi di Amerika Syarikat dan Eropah hari ini telah membuktikan sistem kewangan Barat yang mengamalkan riba', terdapat begitu banyak kelemahan, ketempangan dan ketidakseimbangan. Ini berbeza dengan sistem kewangan Islam yang bebas riba', dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan. Fakta ini disokong oleh ramai pengkaji yang mengakui kesan positif ekonomi dunia kini beralih kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitulmal, sedekah, hibah dan banyak lagi di samping beberapa produk-produk baru dalam produk ekonomi Islam.


Ini menjadikan sistem kewangan Islam secara asasnya tidak menerima kesan langsung daripada krisis yang berlaku berdasarkan ciri-cirinya yang tersendiri seperti adil, tidak membeban dan menindas pengguna serta berkongsi keuntungan dalam segala aspek. Malah ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan yang lain untuk mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya.


Saya ini ingin menarik perhatian anda semua kepada satu kegiatan dalam sistem ekonomi Barat yang bergerak dalam masyarakat hari ini ialah Ceti Haram. Ceti haram atau along adalah agensi yang tidak berdaftar secara sah dengan Kementerian Kewangan, tetapi bergerak secara aktif menipu dan memperdaya orang ramai dengan tawaran pinjaman yang dikenakan bunga yang berganda. Terdapat ceti haram yang telah menyalahgunakan lesen meminjam wang dan kadar bayaran yang dikenakan kepada peminjam melebihi 18% setahun. Merujuk laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), terdapat 1,600 kes ceti haram direkodkan dalam tempoh kurang dari dua tahun di mana mereka memperolehi pendapatan sebanyak RM12 juta sehari.

Saya bimbang dengan keadaan kemelesetan ekonomi dunia yang akan menyebabkan keretakan institusi keluarga, meningkatnya jenayah, bertambahnya kes membunuh diri, menjual maruah diri, penindasan, keruntuhan moral dan sebagainya. Justeru itu, semua pihak diseru agar sentiasa menyediakan perancangan kewangan yang mapan melalui perbelanjaan berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba' bagi mengelakkan kehancuran masa depan individu, masyarakat dan negara.

Jalanilah hidup secara yang dituntut oleh Islam iaitu bersederhana dan mengikut kemampuan diri. Amalkan budaya rajin berusaha kerana Allah SWT mengasihi mereka yang bekerja dengan tangan sendiri dalam mencari rezeki yang halal. Islam tidak menyekat umatnya mencari kesenangan asalkan ia dengan cara yang diredhai.

Tiga langkah untuk mengelakkan kita mengambil riba dan mengembalikan kestabilan ekonomi ialah :

  1. Bersama-sama mendokong produk kewangan Islam yang sedang dilaksanakan sekarang di samping berusaha memartabatkan sistem ekonomi Islam.

  2. Bersama-sama melemahkan produk-produk kewangan Barat yang bertentangan dengan syariat Islam, khususnya kegiatan ceti-ceti haram yang sedang berleluasa di negara kita.

  3. Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keistimewaan sistem ekonomi Islam, dan bahaya sistem ekonomi Barat.
Nota : Teks Khutbah Jumaat
dr ustaz nor amin

Thursday, March 4, 2010

Dua ringgit VS Dua puluh ribu ringgit

Katalah kita ni polis, sedang duduk dalam kereta peronda kita sambil minum kopi. Tiba-tiba radio kita berbunyi, mengatakan ada dua kes yang diminta kita menangani salah satu darinya. Dua-dua kes orang kena tangkap mencuri. Kes pertama di kampung hulu, seorang lelaki ditangkap mencuri duit seringgit. Kes kedua di kampung hilir, seorang warga asing kena tangkap mencuri duit 20 ribu ringgit.
Kes mana yang kita kejarkan dulu? Agaknya tentulah kita segera berkejar ke kampung hilir, ye tak? I mean, apalah sangat duit seringgit, itupun nak report polis ke? Tapi bagaimana kalau lepas tu kita tahu hakikatnya begini:

Dalam kes pertama, duit itu kepunyaan seorang anak yatim piatu peminta sedekah, dan duit itu sajalah yang ada padanya untuk digunakan membeli roti setelah beberapa hari tak makan?
Sedangkan dalam kes kedua, duit itu kepunyaan orang kaya bakhil yang seumur hidupnya tak pernah keluar zakat? Tiba-tiba, baru kita sedar perbezaannya, antara prinsip dan appearance.

Kalau ikut prinsip, tentulah kes pertama lebih berat, walaupun hanya melibatkan duit seringgit. Tapi sebab kita hidup ini dah biasa menghakimkan orang serta peristiwa dari segi luaran, maka selalu minda kita tertipu.
Stephen Covey, dalam bukunya “Seven Habits of Highly Effective People” menceritakan pula begini:

Kita sedang duduk di sebuah bangku dalam taman. Sedang kita enak menikmati sandwic dan Coke kita di tengah taman dengan udara bertiup lembut itu,tiba-tiba datang seorang lelaki bersama 2 orang anak kecilnya duduk di sebelah kita. Lelaki itu hanya menung panjang melihat ke tasik dan mendiamkan diri sementara anak-anaknya berlarian macam setan menjerit-jerit sekuat hati. Orang yang lalu lalang semuanya melihat dengan kening berkerut-kerut perangai budak-budak yang tak tahu hormat pada orang lain tu. Kita pun lama-lama semakin bengang. Setan sungguh budak ni! Apahal mamat ni diammm je, tak nak tegur ke anak-anak dia ni?

Lepas dah tak tahan sangat, kita pun tegur lelaki itu. Boleh tak encik suruh anak-anak encik tu dok diam-diam, saya tengah nak makan sandwic ni! Lelaki itu melihat pada kita seketika sebelum tersenyum sedikit. “Maafkan saya,” kata lelaki itu. “Dan maafkan anak-anak saya tu Sebenarnya, isteri saya – ibu mereka – baru meninggal dunia sebab kanser di hospital, dan saya tak tahu macamana nak terangkan pada mereka hal ini.” Kemudian dia sambung lagi: “Biarlah saya bawa mereka ke tempat lain supaya tak menganggu anda makan.” Apa rasa kita masa itu? Sebab itulah bila teringat ayat Qur’an mengatakan, beza antara manusia itu hanyalah iman dan taqwa, saya sering berasa menyesal. Sebab saya selalu menghukum orang melihat keadaan luarannya! Bagaimana dengan anda?
Wallahualam.