Thursday, January 14, 2010

Penanaman Kobis

Kobis ditanam dengan menggunakan biji benih. Kawasan yang luasnya 0.4 hektar (1 ekar) memerlukan lebih kurang 0.5-0.8 kg. biji benih. Biji benih ini boleh ditabur terus ke atas batas atau disemai dahulu di tapak semaian. Selalunya cara semaian lebih elok dijalankan kerana kita dapat memilih pokok-pokok yang sihat dan subur untuk diubah ke batas tanaman. Buat tapak semaian yang berukuran 1 m lebar dan 3 m panjang Taburkan biji benih yang telah dirawat dengan racun kulat seperti thiram atau benomyl dengan kadar 3 gm bagi 100 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Gaulkan biji benih ini dengan pasir halus/tanah peroi dan barulah ditabur di tapak semaian. Tutup tapak semaian dengan lalang kering ataupun pelepah kelapa dan siramkan air. Biji benih akan mencambah selepas 3-4 hari ditabur. Buangkan daun penutup tapak semaian supaya tidak mengganggu pertumbuhan seterusnya.

Ubah anak benih apabila telah mempunyai 4-5 helai daun, iaitu kira-kira empat minggu selepas disemai. Sebelum mencabut anak benih, siram tapak semaian secukup-cukupnya. Seelok-eloknya cabut anak benih bersama dengan tanah di sekelilingnya. Ini dapat mengelakkan kerosakan akar dan mempastikan anak benih itu tidak terencat pertumbuhannya selepas diubah ke batas tanaman. Hanya anak-anak benih yang sihat sahaja diubah ke ladang. Ubah semasa cuaca redup atau pada waktu petang hari. Siramkan air setelah mengubah anak benih.

Keterangan lanjut : http://pertanianmjg.perak.gov.my/kobis.htm


No comments:

Post a Comment